Tuesday, June 23, 2015

KENANGAN DI BULAN RAMADHAN

Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah dapat lagi bertemu Ramadhan kali ini. Jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Didiklah hati ini ke arah mencari redhaMu ya Allah.

Kedatangan Ramadhan sering ditunggu kerana keberkatan dan di dalamnya terbentang ruang-ruang pahala yang berlipat ganda. Sering aku yang lalai ini teringat akan kenangan-kenangan dalam melalui Ramadhan ini.

Sewaktu kecil, sering mengikut mak ke surau untuk bertarawih, biarpun ketika itu masih belum mengetahui cara untuk bersolat dengan betul. Hanya kerana seronok untuk bermain tatkala orang lain bertarawih.

Apabila aku duduk di asrama, apabila Ramadhan tiba, yang paling aku ingat ialah juadah berbuka yang banyak sehingga kami terpaksa bawa bekas untuk tapau kerana memang tak habis. Kami hanya solat tarawih di surau asrama. Paling teringat bila bangun sahur, biasa warden yang kejut. Dengan muka terpisat-pisat masuk bilik air, berus gigi dan turun dewan makan. Dahlah dewan makan tu jauh, sampai tak sampai je jalan nak pergi makan. Kadang-kadang sekadar isi perut je, jangan lapar sangat. Cepat-cepat makan sebab nak berebut mandi dan sambung tidur sekejap sebelum subuh.

Masuk ke maktab, jarang sahur berat-berat sebab tak larat nak masak pagi-pagi. Buat air dan makan biskut je. Takpun ada yang rajin masak nasi bolehlah makan nasi goreng pagi-pagi.

Mula mengajar, best kat rumah semua rajin, buka puasa penuh, sampai tak larat makan. Sahur ada giliran masak untuk semua. Kalau tak memang tak de lah. Tak ingat dah apa yang aku selalu masak. Goreng telur aje kot. He..he.. resepi orang rajin. Janji ada juadah untuk bersahur.

Paling ingat apabila dah bergelar isteri, sebelum ada anak, memang rajin bangun sama-sama buat juadah bersahur. Bila dah anak, masa nak bangun tu lah dia nangis, nak susu, nak tukar lampin, nak buailah.. jadi kenalah makan gilir-gilir. Nasiblah En suami sangat memahami. Selalu dia yang bangun sediakan juadah bersahur, dah siap baru panggil.

Apabila berpindah ke tempat keluargaku, aku menjadikan rutin berbuka bersama-sama keluargaku pada setiap petang. Kami akan masak dan bawa ke rumah mak untuk berbuka bersama-sama apabila aku mula duduk di rumah guru. Miss that moment now bila berpindah ke Seremban ni.

Teringat pelbagai peristiwa apabila berbuka di rumah mak. Anak-anak yang tak berpuasa biasanya akan makan dahulu dan tidak mengganggu orang yang berbuka. Anak ku yang ketiga dan keempat agak rapat dan mereka akan bermain bersama-sama ketika kami berbuka. Suatu hari, abang telah memasukkan reja-reja benang yang dijumpai ke dalam telinga adik. Selesai berbuka, adik dah menangis sakit. Usai solat Maghrib aku dan suami membawa dia ke klinik tetapi tidak boleh di keluarkan. Akhirnya aku terpaksa membawanya ke hospital untuk melakukan prosedur pembedahan untuk mengeluarkan 'benda' yang dimasukkan ke dalam telinga adiknya itu.

Satu hari satu malam terpaksa duduk di wad untuk mematuhi prosedur tersebut. Bersahur dan berbukalah aku dan suami di hospital manakala anak-anak kami tinggalkan di rumah makcik. Paling sedih, ketika kami berbuka, anakku itu perlu berpuasa 8 jam untuk persediaan sebelum masuk ke bilik pembedahan. Kami terpaksa berbuka bergilir-gilir di luar wad supaya dia tidak nampak kami makan. Akupun hanya boleh makan kueh je pun. Tak lalu, memikirkan nak cepat solat untuk bersedia ke bilik pembedahan.

Sebenarnya masa tu pun aku tengah pening nak siapkan kerja kursus yang perlu dihantar sebelum hari raya. Aku akhirnya terpaksa membawa semua buku-buku dan nota balik ke kampung suami untuk menyiapkan kerja kursus sebelum hari raya menjelang lantaran masaku terpaksa dihabiskan di hospital sebelumnya. Nasib dapat disiapkan mengikut jadual.

Ramadhan pada tahun 2003 adalah yang paling seronok aku dan keluarga sambut setelah aku menamatkan pengajian sarjana mudaku. Kalau tidak sepanjang bulan Ramadhan dan Syawal, kami bergelut dengan peperiksaan dan kerja kursus. Aku selalu meluangkan masa 3 hari sahaja untuk menyambut Syawal sepanjang pengajianku untuk menziarahi saudara mara terdekat. Selepas itu, akan mula mengadap buku dan komputer. Oleh itu, apabila tamat pengajian, anak-anak yang seronok menjalani bulan Ramadhan kerana aku akan mengikut mereka ke surau untuk Tarawih dan melayani permintaan mereka untuk membuat kuih untuk Hari Raya selain dapat beraya lebih lama. Ramai saudara mara dan rakan-rakan yang dapat diziarahi.

Apabila aku menyambung pengajianku semula, aku jadi terbiasa berbuka di bilik kuliah apabila kelas bermula pukul 6.00 petang hingga 9 malam. Kami berhenti untuk berbuka dan solat Maghrib. Selalunya aku akan menyediakan juadah berbuka untuk anak-anak sebelum ke kuliah. Mereka akan berbuka sendiri atau bersama adikku jika dia datang ke rumah. Suami akan menunggu aku habis kuliah, baru balik bersama-sama kerana ketika itu, dia bertugas di Putrajaya. Nasiblah jadual kuliah yang macam tu satu hari je seminggu.

Kini Ramadhan sangat menggembirakanku kerana dapat menyiapkan juadah untuk berbuka biarpun simple je dan berbuka bersama-sama anak-anak  kemudian menunaikan solat Tarawih. Suraupun depan rumah je memudahkan anak-anak lelaki dan suamiku untuk menunaikan solat. Kenangan menjalani Ramadhan tetap diingati dan semoga Allah menyampaikan umur kami sehingga ke akhir Ramadhan agar kami dapat menikmati keberkatannya dan mendidik hati kami.




No comments:

Post a Comment