Tuesday, June 2, 2015

UJIAN DARI ALLAH

Tatkala membeli buku 'Bersyukur Saat Diuji', hati sudah terpaut untuk meneliti isinya. Ingin mengetahui bagaimana untuk rasa bersyukur dengan musibah yang melanda. Sabar...memang itulah yang sering dikatakan oleh rakan-rakan, teman, saudara mara atau sesiapa juga apabila kita ditimpa musibah atau malapetaka. Bagaimana kita perlu bersabar untuk menghadapinya?

Kadang-kala kita rasa sangat sedih, sayu, penat, lelah, tak mampu dan pelbagai perasan lagi timbul tatkala menghadapi ujian Allah ini biarpun kita tahu setiap kejadian itu ada hikmahnya.Membaca dan menghayati isi buku ini, terasa diri begitu kerdil dalam menghadapi ujian Allah. Baru sedikit diturunkan ujian, terasa diri sudah rebah. Tidak terus memohon kepada Allah untuk meminta kekuatan dan ketabahan. Ya Allah...ampunkan aku Ya Allah kerana dalam keadaan sukar sekalipun aku masih lalai mengingatimu apatah lagi di waktu senangku.

Anak-anak adalah amanah Allah. Namun anak-anak juga kadang-kala adalah ujian Allah pada kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita dalam memberi didikan yang sepatutnya kepada anak-anak terutama dalam hal solat. Kita mampu untuk memastikan anak-anak kita solat apabila mereka berada di rumah, namun adakah kita dapat pastikan anak-anak kita mendirikan solat apabila jauh dari kita. Kita mungkin telah mengajar anak-anak kita solat, tetapi untuk pastikan mereka sentiasa solat selepas mereka tahu bersolat bukan mudah. Sebagai ibubapa kita perlu sentiasa memastikan mereka mula mempelajari solat seusia 7 tahun dan jika mereka enggan bersolat pada usia 10 tahun, pukullah dengan niat untuk mengingatkan mereka. Sebagai ibu bapa kita jangan putus berdoa agar anak-anak sentiasa mendirikan solat agar dapat mencegah mereka daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Mudah-mudahan anak-anak akan tetap dalam imannya kepada Allah dan melaksanakan perintahNya serta meninggalkan laranganNya.

Dalam mendidik 4 anak lelaki, pengalaman dalam mendidik mereka mendirikan solat sering mencabar kesabaran. Memastikan mereka mula belajar solat tatkala menyambut hari lahir yang ke-7, dengan mengajar bacaan dalam solat, memastikan mereka sembahyang dengan bacaan yang betul setiap kali solat, amat menduga kesabaran. Namun apabila mereka sudah mula dapat mendirikan solat dengan bacaan yang betul, terasa kepuasan dan kesedihan bercampur menjadi satu. Besar sungguh tanggungjawab menjadi ibu bapa dalam menunaikan amanah Allah ini. Terasa begitu takut andai Allah uji dengan kita melalui anak-anak.

Terlalu banyak ujian yang perlu kami hadapi sebagai ibu bapa dalam membesarkan keempat-empat anak ini. Jika sakit pening, itu memang perkara biasa. Melihat anak bongsu mengalami kemalangan di depan mata adalah saat yang tak mungkin dilupakan. Syukur kerana Allah panjangkan umurnya, memberi peluang kepada kami untuk bersamanya sehingga kini. Menjaga anak ketiga yang mengalami sindrom tahan nafas apabila dia mengalami kesakitan, marah atau apa saja yang mengganggu emosinya sejak usia 6 bulan sering membuat kami tenggelam punca. Apatah lagi apabila melihat bibirnya yang kebiruan, boleh jatuh tiba-tiba.  Doktor mengingatkan kami untuk sentiasa berjaga-jaga kerana jika anak ini pengsan, dia mesti disedarkan dalam tempoh yang cepat supaya tidak terjadi kerosakan otak. Abang-abangnya terutama yang sulong menjadi sangat prihatin dengan perubahan adiknya. Dia akan cepat-cepat bertindak jika adiknya mula kebiruan. Begitu juga ahli keluarga yang lain. Ujian ke atas kami melalui anak ini berlarutan sehingga umurnya 6 tahun. Setelah disahkan pertumbuhan dan perkembangannya normal oleh doktor pakar, kamilah orang yang paling bersyukur. Sesungguhnya Allah tidak menguji hambanya melebihi kemampuannya.

Belajar dari ujian-ujian Allah ini menjadikan kami, ibu bapa yang bersyukur tatkala diuji sewaktu anak-anak ditimpa kemalangan. Menjaga anak kedua yang mengalami kecederaan kaki yang menyebabkan dia terpaksa menangguh pengajiannya, memberi peluang kepada kami sentiasa bersamanya dan mempelajari banyak perkara yang melibatkan solat untuk orang yang terpaksa disimen. Hubungan adik-beradik menjadi rapat kerana mereka perlu memberi bantuan kepada anak ini.

Sesungguhnya dalam membina akhlak dan mendidik anak-anak adalah ujian paling besar buat ibu bapa. Ibu bapa perlu berganding demi mencorak masa depan anak-anak dan berikanlah didikan agama kepadanya. Ini kerana didikan agamalah kelak yang menjamin kelangsungan hidup mereka dan InsyaAllah memilik akhlak yang terpuji.


No comments:

Post a Comment