Thursday, December 15, 2011

CUTI YANG SIBUK

Cuti sekolah yang diperuntukkan kepada guru-guru kadang-kadang tidak dapat dinikmati sepenuhnya kerana masih terdapat kerja-kerja yang perlu dibereskan. Tambahan jika guru itu mengajar kelas peperiksaan. Setiap cuti sebelum peperiksaan dijalankan, guru-guru akan mengadakan kelas tambahan untuk memantapkan pelajar.

Bagi guru-guru yang mengajar Tahun 6 yang akan menduduki UPSR, cuti bulan Mac, ada kelas tambahan, cuti semester satu ada kelas tambahan, cuti pertengahan semester duapun ada kelas tambahan. Kalau tak macam mana murid nak berjaya, tambahan sekolah di luar bandar yang murid-muridnya berharap dengan guru-guru untuk membentuk mereka menjadi insan cemerlang. Cuti akhir tahun pula, dah mula kelas tambahan untuk murid-murid Tahun 5 yang akan menduduki peperiksan UPSR tahun depan. Ohhh....itulah cikgu yang mempunyai banyak cuti...(kata orang yang tak tahu).

Pada cuti kali ini, banyak kerja yang perlu aku selesaikan. Minggu pertama menyelasaikan urusan penempatan murid ke Tingkatan 1. Murid-murid yang cemerlang UPSR nak mohon SMKA, KAA, KRK dan sebagainya urusan sehinggalah menghantar borang-borang ke PPD dan Jabatan. Ada juga yang komen cikgu tak nak uruskan. Padahal datangpun tidak jumpa kita yang duduk kat sekolah setiap hari dan kadang-kadang kala sampai petang. Itulah pengorbanan guru yang tidak dihargai kadang-kala.

Urusan anak-anak turut mengambil masa rehat. Mana nak hantar menjalani peperiksaan dan kelas tambahan. Bercerita tentang kelas tambahan ini, nak hantar anak punya pasal siap masuk Rally Estate. Masuk Ladang Kombok, keluar Hulu Kuala Sawah, masuk Kuala Sawah, terus ke Kampung Sega dan keluar Ladang Bradwall. Jalan dah lah 'cantik' selekohpun banyak, memang mencabar kemahiran. Kena dua hari melaluinya seronok pula kerana dapat memantapkan skil pemanduan. Cuma ..fuhh bila selisih dengan kenderaan lain agak mencabar sikit sebab jalan teramatlah kecilnya.

Cerita tentang tugas, cuti yang panjang tapi sangat singkat yang dinikmati, sebagai seorang guru yang diberi tanggungjawab dan amanah seharusnya kita sebagai pendidik tidak berkira tentang itu jika kita seronok dalam menjalankan setiap tugasan kita dan sentiasa mengharapkan ganjarannya dari Allah. Semoga segala usaha kita akan memudahkan urusan kita, memudahkan kejayaan anak-anak dan memberikan kita kebahagiaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Thursday, December 8, 2011

BERKONGSI WADAH DARI PEMBACAAN

Aku baru beli majalah Solusi. Sekarang aku membelinya setiap bulan untuk membacanya kerana sudah terpikat dengan isinya yang banyak mengandungi ilmu yang boleh dimanfaatkan sekeluarga. Oleh kerana, anak-anak turut suka membaca, secara tidak langsung mereka akan membaca majalah-majalah yang aku beli untuk mendidik jiwa mereka. Alhamdulillah...sangat berbaloi membelinya dengan ilmu yang diperolehi.

Satu tajuk yang sungguh menarik perhatianku ialah Dahulu Pahit, Kini Terasa Manis. Sememangnya dalam hidup kita tidak terlepas daripada ujian. Ujian dan dugaan itu memang pahit untuk kita hadapi namun itulah medan untuk kita mujahadah bagi mencapai martabat Mukmin yang disayangi dan diredhai Allah. Sesungguhnya Allah tidak menduga kita dengan apa yang tidak mampu kita hadapi. Allah maha pengasih lagi penyayang.

Bagi manusia yang mengetahui,  mereka percaya untuk mencapai hujung kehidupan yang ada taman yang indah yakni syurga maka perlu melalui jalan yang berliku, penuh batu-batu tirus dan tajam, kesakitan menempuh onak dan duri. Namun kita akan terus berjalan kerana kita tahu, penghujung jalan nanti sesuatu yang indah menanti.

Allah menjanjikan kita dengan kesenangan asal sahaja kita berusaha menghadapinya seeprti dalam kalamNya Surah al-Insyirah ayat 5-6. Kita mungkin berprasangka buruk dengan aturan Allah apatah lagi hikmah yang dicari tidak pernah menjelma. Namun, kita perlu yakin dengan janji Allah kehidupan yang manis itu pasti tiba walaupun bukan di dunia, di akhirat sana pasti ada.

Sesungguhnya sifat amarah itu, boleh membakar jambatan persaudaraan. Kita memutuskan hubungan sesama rakan, malah dengan keluarga. Ingatlah janji Alah s.w.t yang mengajar dan memujuk kita tentang sabar, berbaik sangka dan terus berusaha. (surah Hud 11:11, "Kecuali orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh, maka mereka ituakan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

Kita sukar merelakan kesusahan itu datang dahulu untuk mengajar mengenai kehidupan bertuhan. Sesungguhnya bersabar itu terlalu indah di akhirnya. Bergembiralah orang yang memilih bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian berbekalkan iman yang meraja.

Dalam hal ini, teringat aku akan perjalanan hidupku untuk sampai ke tahap sekarang. Dalam merancang kehidupan berumahtangga, tatkala anak-anak masih kecil dan masih ingin menambah bilangan ahli keluarga, aku menggagahkan diri mengambil peperiksaan STPM. Agak sukar membahagikan waktu dengan tugas sebagai guru, ibu, anak, isteri kerana terlalu banyak yang perlu diurus, diselia, dibuat dan dijaga. Alhamdulillah, berkat sokongan dan dorongan, akhirnya aku memperolehi 5P pada 1997.

Menyambung pelajaran tatkala anak kecil masih merah, benar-benar menguji kekuatan, bersyukur anak itu tidak memberi masalah malah seolah memahami kesibukan ibunya belajar. Akhirnya aku bergraduasi tatkala umurnya 4 tahun. Kesakitan yang ditanggungnya semasa aku menyambung pelajaran di peringkat sarjana akibat kemalangan, sekali lagi menguji ketabahanku. Menguruskannya yang mengalami kecederaan teruk di kaki dan terpaksa berkerusi roda, meningkatkan kesabaranku apatah lagi dia juga cuba berdikari supaya tidak menyusahkanku kerana dia tahu aku tidak mampu mengangkatnya.

Mengajarnya tika lapangku sama ada di sekolah atau di rumah selama 3 bulan percutiannya kerana kecederaan itu, membuahkan hasil apabila dia mendapat tempat ketiga dalam kelasnya semasa peperiksaan semester akhir walaupun bercuti sakit 3 bulan. Aku juga dapat menamatkan pengajianku selepas 2 tahun bertungkus lumus. Alhamdulillah. Tanpa kekangan, kepayahan dan dugaan itu, mungkin kejayaan itu tidak begitu manis untuk dikenang. Segala kepahitan itu, kini telah berganti kemanisan apabila anak itu berjaya mendapat 5A dalam UPSR, walaupun suatu ketika dulu, aku hampir kehilangannya. Terima kasih Allah di atas kurniaMu ini. Aku sangat bersyukur dengan segala anugerahMu biarpun ianya penuh onak dan duri.