Sunday, October 11, 2015

TUGAS, AMANAH, INTEGRITI DAN KESEMPATAN

Bercakap tentang tugas, ianya satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dan integriti. Sebagai seorang yang diberi amanah untuk menjalankan sesuatu tugas itu, kewibawaan seseorang itu akan terserlah apabila dapat melaksanakan tugasannya dengan cemerlang.

Kecemerlangan menyiapkan tugasan bukan sahaja diukur daripada segi dapat menyiapkan tugasan mengikut masa, kriteria yang ditetapkan tetapi apa yang lebih penting adalah integriti dalam menyiapkan tugasan. Ada orang sanggup menciplak hasil kerja orang asalkan tugasannya siap, mengugut atau merasuah orang dan ada juga yang mengambil kesempatan dari kebaikan rakan sekumpulan. Tanpa rasa bersalah menggunakan ahli kumpulan untuk menyiapkan tugasan tanpa sedikitpun usaha darinya untuk membantu namun yang pasti namanya tertulis sebagai ahli kumpulan.

Dalam konteks pekerjaan pada hari ini, golongan yang mengambil kesempatan ini terlalu ramai, tanpa rasa bersalah memperguna kedudukan dan jawatan untuk keselesaan peribadi. Menggunakan kemudahan organisasi untuk kepentingan diri sendiri adalah kerana kurangnya integriti dalam diri.

Teringat satu riwayat yang pernah dibaca, Syaidina Omar memadamkan lampu di biliknya apabila anaknya ingin bercakap tentang masalah peribadi kerana beliau tidak mahu menggunakan kemudahan yang diberi kepadanya untuk tujuan pentadbiran negara disalahgunakan untuk keluarganya. Beliau benar-benar menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sebagai manusia, sememangnya kita tidak boleh lari dari membuat kesilapan terutama dalam melaksanakan tugas, maka tanamkanlah dalam diri tugas adalah amanah yang perlu dipikul dengan penuh integriti bukan kesempatan yang diberi untuk kepentingan diri sendiri. Jadilah orang yang banyak memberi dan bukan yang banyak menerima serta jangan mengambil kesempatan sehingga kita mengambil yang bukan hak kita. Dalam mencari keredhaa Allah, tunaikan tanggungjawab dengan penuh amanah agar kita memberi kepada yang berhak menerimanya.


No comments:

Post a Comment