Semenjak hari itu, Dahlia dan Azrul sering berhubungan. Pelbagai cerita mereka kongsi bersama terutama tentang zaman persekolahan mereka. Pada awalnya mereka hanya berhubung pada waktu pejabat namun setelah beberapa lama, kadang-kadang kala jika ada perkara yang dirasakan penting mereka turut berhubung semasa Dahlia bersama keluarganya.
Oleh kerana Dahlia menamakan Azrul dengan nama wanita dalam telefonnya maka suaminya tidak pernah menaruh syak apa-apa walaupun kadang-kala dia membuka telefon isterinya. Dahlia semakin rapat dengan Azrul walaupun mereka hanya berhubung melalui telefon sahaja. Azrul juga sering menghantar bunga ke pejabat Dahlia apabila tiba hari istimewanya tambahan pejabat mereka berdekatan.
Azrul semakin dibuai perasaan apabila mendapat tindakbalas yang positif daripada Dahlia. Sementelah lagi, Dahlia adalah pujaan hatinya semenjak sekolah. Cuma dia tidak pernah menyuarakan perasaan itu kerana pelajaran menjadi fokus utamanya ketika itu. Dia juga bukanlah dari keluarga yang senang. Dia ingin berjaya dalam pelajaran bagi membaiki taraf hidup keluarganya.
Oleh sebab itu, dia masih membujang hingga kini untuk membantu ibu bapanya menyara keluarga dahulu. Pertemuannya dengan Dahlia telah memberinya semangat baru untuk mencari pasangan namun apakan daya bunga idamannya telah menjadi kepunyaan orang. Walaubagaimanapun, dia berasa gembira kerana Dahlia sudi berhubung dengannya.
Dia berharap dapat memiliki isteri secantik dan sebaik Dahlia. Dahlia semakin akrab dengan Azrul malah setiap hari mereka sentiasa berhubung. Jika Azrul tidak menghubunginya, Dahlia pula akan menghubungi Azrul tanpa rasa bersalah. Malah mereka semakin berani berjumpa ketika rehat dan makan bersama walaupun bukan berdua. Dahlia sentiasa bersama teman baiknya Izati. Bagi Dahlia keakraban itu adalah kerana ingin menjodohkan Izati dengan Azrul kerana dia tahu Azrul sedanga mencari teman hidup tanpa diketahui oleh Dahlia bahawa Azrul sudah jatuh cinta padanya.
Pada suatu hari, Azrul menyuarakan hasrat hatinya ingin berjumpa Dahlia secara sendirian. Dahlia menolak permintaan Azrul kerana dia sedar status dirinya. Dahlia setuju untuk berjumpa jika ditemani Izati. Azrul yang tidak dapat lagi menyimpan perasaannya terpaksa bersetuju dengan syarat Dahlia. Mereka berjumpa seperti biasa di restoran yang biasa mereka kunjungi semasa makan tengah hari. Azrul sengaja mencari tempat yang agak tersorok agar mudah baginya menyatakan perasaannya.
Dahlia yang berasa tidak sedap hati terpaksa meminta Izati menemaninya. Selepas membuat pesanan, Dahlia meminta diri untuk ke tandas dan memberitahu dia tidak sedap perut. Dia meninggalkan Izati dengan Azrul. Dahlia terus pulang ke pejabatnya. Selepas itu, dia menelefon Azrul dan memberitahu dia terpaksa balik ke pejabat segera kerana tidak sihat dan meminta Azrul menghantar Izati. Azrul yang berasa terkilan kerana tidak dapat berterus terang terpaksa menurut permintaan Dahlia. Dalam kereta dia berbual dengan Izati dan cuba mencungkil rahsia tentang Dahlia. Izati yang cepat perasan keinginan Azrul hanya menceritakan kebahagiaan Dahlia dan suaminya supaya Azrul faham kedudukan Dahlia yang sudah berumahtangga.
Sampai sahaja di pejabat, Izati memberitahu pandangannya tentang Azrul kepada Dahlia. Dahlia yang berasa bersalah kerana memberi harapan kepada Azrul terpaksa mengakui hakikat kesalahannya kepada Izati. Dahlia berharap Izati dapat memenangi hati Azrul kerana Azrul baginya jejaka yang baik dan sesuai dengan Izati. Dahlia berharap akan terbuka ruang untuknya memberitahu hal itu kepada Azrul.
Sedang mereka bercerita, tiba-tiba telefon Dahlia berbunyi dan Azrul berada dalam talian. Dahlia berpura-pura sakit semasa menjawab panggilan itu. Azrul hanya sempat meminta Dahlia ke klinik sebelum talian diputuskan. Bagi Azrul, belum masa yang sesuai untuk menyatakan suara hatinya.
No comments:
Post a Comment