Tatkala aku datang ke sekolah ini, sekolah ini pada pengamatanku tidak ada yang istimewa, keputusan peperiksaan UPSR tidaklah secemerlang mana. Pada tahun 2005, keputusan UPSR amat mendukacitakan, kelulusan hanya 56.3%. Aku yang baru belajar untuk mengajar Sains UPSR, terasa begitu takut untuk melihat keputusan namun Alhamdulillah percubaan pertamaku agak memberansangkan, peratus kelulusan 90 lebih namun GPS sekolah hanya mampu mencapai 2.04. Akibatnya, kami telah didatangi PPD dan Nazir yang hadir untuk memberi bantuan.
Tahun 2006,kami guru-guru Tahun 6 terpaksa bertungkus-lumus untuk memperbaiki keputusan dengan bantuan pihak Nazir dan guru-guru pakar yang dibawa oleh pihak Nazir dan Guru Besar baru kami Pn Hjh Noor Semarli binti Alias terutama dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Setelah pelbagai strategi diatur dan usaha dijalankan akhirnya apabila keputusan diumumkan, sekolah kami berjaya mencatat kelulusan 94.1%. Peningkatan kelulusan sebanyak 37.8%. Semua subjek lulus 100% kecuali B. Inggeris yang mencatat 94.1%. Semua guru berasa sungguh gembira lebih-lebih lagi aku kerana baru tahun kedua aku mengajar Sains Tahun 6 telah mencatat kelulusan 100% dan 5 orang mendapat A. GPS sekolah kamipun kali pertama mencatat bawah 2 iaitu 1.96. Sekolah ini telah menerima pelbagai anugerah daripada JPNS dan PPD Seremban.
Seterusnya, tahun 2007, set guru-guru yang mengajar Tahun 6 telah mengalami perubahan apabila guru Bahasa Inggeris sedia ada bertukar. Pn Nor Lida selaku GPK HEM telah diarahkan mengajar Bahasa Inggeris Tahun 6. Cabaran terus kami galas dan komitmen guru semakin bertambah untuk memastikan kelansungan kejayaan yang dicapai. Pelbagai program telah diatur oleh pihak sekolah serta mendapat kerjasama sekolah-sekolah DUN Rantau. Sekolah Kebangsaan Seliau telah mencatat keputusan di luar dugaan. Seramai 8 orang murid daripada 22 orang calon mendapat 5A yang membolehkan sekolah ini mencatat GPS 1.63. Anugerah demi anugerah telah berjaya sekolah perolehi hasil daripada kejayaan yang dicapai.
Tahun 2008, Guru Besar sekolah ini telah ditukarkan dan dalam masa yang sama sekolah telah dicalonkan untuk Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) namun disebabkan persiapan yang tidak mencukupi, sekolah ini tidak berjaya untuk mendapat anugerah tersebut. Kehadiran Guru Besar baru hanya seketika semasa persiapan untuk ASCsebelum berpindah dan diganti oleh Pn Hjh Hamidah binti Singah. Tumpuan kepada kecemerlangan UPSR telah diberi keutamaan. Biarpun terpaksa berkorban masa dan tenaga, guru-guru sedia menabur bakti. Apabila keputusan diumumkan, sekolah berjaya mencatat kelulusan 94.1%, GPS 1.66 dan 4 orang mendapat 5A. Walaupun terdapat sedikit penurunan, namun keputusan tersebut masih dianggap terbaik.
Pada tahun 2009,sekali lagi sekolah ini telah mencatat keputusan UPSR yang boleh dibanggakan iaitu, seramai 6 orang mendapat 5A daripada 18 orang calon, peratus kelulusan 94.4% dan GPS sekolah 1.6 dan yang paling menakjubkan ialah kesemua calon mendapat A dalam penulisan Bahasa Melayu. Sekolah terus mendapat anugerah demi anugerah dan pencalonan sekolah cemerlang. Masih terdengar lagi, seorang nazir telah meminta kami mensasarkan untuk mencapai anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan pula apabila telah mencipta kejayaan demi kejayaan. Oleh itu, pihak pentadbir dan guru-guru telah menetapkan visi sekolah untuk mencapai sekolah cemerlang menjelang 2010.
Pelajar yang mendapat 4A dan 5A tahun 2009
Murid-murid yang mendapat 5A pada tahun 2010
Pada tahun 2011, set guru Tahun 6 telah bertukar sekali lagi apabila Guru Penolong Kanan HEM kami telah dinaikkan pangkat menjadi Guru Penolong Kanan Petang di SK Sikamat. Cikgu Siti Maryama telah diarahkan untuk mengambil alih mengajar Tahun 6 dalam subjek B. Inggeris. Alhamdulillah, walaupun sekolah ini mempunyai calon UPSR paling ramai dalam sejarah 5 tahun kebelakangan ini iaitu 30 orang murid arus perdana dan 3 orang calon PPKI, sekolah ini tetap mencatat kejayaan yang cemerlangan. Dengan GPS keseluruhan 1.59 tanpa calon PPKI atau 1.70, sekolah ini tetap yang terbaik di DUN Rantau. Apatah lagi kami berjaya mencatat keputusan seramai 12 orang calon mendapat 5A.
Murid yang mendapat 5A tahun 2012 bersama pengurusan sekolah @ guru Tahun 6.Tiada dalam gambar Pn Siti Maryama kerana cuti bersalin.
Sekolah ini sekali lagi telah dipanggil ke Cyberjaya untuk membuat pembentangan bagi Sekolah Kluster Kecemerlangan. Pihak pentadbir terpaksa bertungkus lumus membuat persiapan untuk tujuan pembentangan tersebut. Pelbagai bahan perlu dilengkapkan dengan segera serta persembahan multimedia perlu disediakan, yang akan digunakan oleh Guru Besar untuk menjual sekolah nanti.
Alhamdulillah pada tanggal 19 Januari 2012 , seluruh warga sekolah telah menerima berita yang amat gembira apabila Sekolah Kebangsaan Seliau telah berjaya menerima Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan. Bagi diriku, anugerah ini adalah bukti kerjasama antara semua pihak terutama guru-guru yang tidak kenal erti penat dan jemu biarpun kadang-kala tertekan dengan bebanan kerja dan tugas utama mengajar dalam memastikan kecemerlangan sekolah. Tahniah untuk seluruh warga Sekolah Kebangsaan Seliau di atas anugerah ini.Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah memberikan sumbangan terutama ADUN Rantau YB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Hj Muhammad bin Hassan yang sangat prihatin dengan pendidikan anak-anak DUN Rantau dan sentiasa memberi cabaran, peransang dan sumbangan untuk sekolah menjalankan program-program pendidikan.
No comments:
Post a Comment