Saturday, August 20, 2016

KESEMPATAN, PELUANG DAN CABARAN

Alhamdulillah, pada tanggal 5 Januari 2016 aku menerima watikah pelantikan untuk menerajui sebuah sekolah di Kuala Pilah. Aku melaporkan diri di sekolah itu pada tanggal 7 Januari 2016. Aku perlu mengikuti Kursus NPQEL selama 3 minggu sebelum bertugas di sekolah itu. 

Dari sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan yang mempunyai aktiviti yang begitu padat dan dan mengajar tahun 6, kedatangan aku ke sekolah itu telah mengurangkan bebanan tugas yang selama ini aku pikul hampir separuh. Apatah lagi sekolah ini hanya mempunyai murid tahun 1 hingga 3 sahaja. Tidak ada murid yang akan mengambil UPSR.

Dalam masa yang begitu singkat aku perlu membuat pemerhatian, penilaian dan keputusan terhadap apa yang ada di sekolah ini untuk aku jadikan projek untuk kursus NPQEL yang sedang aku jalani ini. Sekolah ini mempunyai kemudahan yang mencukupi, prasarana yang lengkap namun susunatur dan keceriaan sangat tidak memuaskan. Banyak yang perlu disusun semula supaya sekolah ini nampak lebih ceria, menarik dan berfokus.

Misi dan visi masih lagi yang lama, ruang pejabat yang tidak tersusun, papan kenyataan yang tidak ada fokus dan pembahagian yang jelas, Pusat Sumber yang sangat sesak semua ini menuntut aku untuk membuat pengubahsuaian satu demi satu.

Memulakan mengubah susunatur pejabat, menukar misi dan visi, mengubah susunan papan kenyataan dan akhirnya menjenamakan Pusat Sumber. Semua tugas-tugas ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua guru-guru dan pekerja. 

Bilik guru dan bilik pemulihan turut aku beri perhatian dengan mengecat dan menyusun semula supaya guru-guru berasa selesa dan keadaan menjadi lebih ceria untuk menambah motivasi guru-guru bertugas. 

Perubahan sikap guru semakin ketara dan mengambil segala cabaran yang dilontarkan dengan positif. Guru-guru turut memanfaatkan perubahan untuk menjana kecemerlangan dalam tugas dan tanggungjawab. Aku pula melihat sekolah ini sebagai cabaran dan peluang kepada aku untuk menggunakan seluruh tenaga dan kekuatan yang aku ada untuk menjadikan sekolah ini lebih ceria, kemas dan berfokus di samping menggunakan segala yang ada di sekolah ini sebagai kekuatan dalam menyediakan suasana pembelajaran yang terbaik untuk murid-murid.

Kesempatan berada di sekolah ini yang hanya fokus untuk kemenjadian LINUS menjadikan aku mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki fizikal sekolah. Berharap aku dapat menggunakan kreativiti aku di sini dengan maksima mungkin untuk menghasilkan sesuatu yang memberi impak yang cemerlang kepada prestasi dan sahsiah murid.