Selama sepuluh tahun di SKSK (LKTP), banyak pengalaman manis yang kukutip. Rasa begitu seronok kerana melihat anak-anak Felda mencipta kejayaan demi kejayaan. Ramai anak-anak muridku kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing. Alhamdulillah. Rakan-rakan guru juga banyak membantu dalam merealisasikan kejayaan anak-anak muridku. ini. Aku juga amat bersyukur kerana di samping melihat kejayaan anak didikku, aku turut melihat kejayaan suami memperoleh ijazah serta melalui detik yang sama bersama adikku Mastura. Alhamdulillah.
Setelah sepuluh tahun di SKSK aku memohon untuk bertukar ke SK Sg Dua, Gemencheh. Apatah lagi anak-anakku bersekolah di sana. Aku begitu teruja kerana diberi mengajar kelas Tahun 6. Setiap hari aku akan mengadakan kelas tambahan untuk membantu mereka dalam pelajaran Bahasa Melayu. Aku juga bersyukur kerana di sekolah ini pada tanggal 3 Februari 2004, aku telah dilantik sebagai guru berijazah. Syukur padaMu ya Allah. Guru-guru di sini juga rajin dan dedikasi. Disebabkan aku tinggal di rumah guru, ini memudahkan aku untuk ke sekolah dan mengadakan kelas tambahan. Apabila keputusan diumumkan, guru besar rasa begitu bangga kerana keputusan adalah sangat memberansangkan biarpun murid-murid ini anak-anak kampung. Bagi aku, keputusan ini sangat mengujakan kerana lebih 20 orang mendapat A dalam Bahasa Melayu biarpun calon 27 orang. Berbaloi rasanya usahaku selama ini. Aku masih ingat kata-kata guru besar ketika itu, keputusan BM hampir sama dengan sekolah bandar yang mempunyai murid yang mengikuti tuisyen diluar. Bagiku di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Sekali lagi aku memohon berpindah. Kali ini ke Seremban kerana aku ingin sekali duduk di rumah yang kami beli. Alhamdulillah ... permohonan ku berjaya. Malangnya permohonan suami tidak diluluskan. Aku terpaksa berpindah dahulu dengan anak-anak. Anak sulungku dapat memasuki Asrama Penuh. Aku tinggal bersama anak kedua yang ketika itu Tahun 5 dan anak ketiga Tahun 2. Anakku yang bongsu tinggal bersama abahnya sebagai teman abah. Setiap hari rutinku adalah menghantar anak kedua ke sekolah. Balik kemas rumah, masak, siap pergi sekolah. Bawa bekal untuk anak kedua dan minta dia siapkan kerja sekolah di surau dan rehat di situ kalau penat sementara tunggu aku balik sekolah.
Kerana kesian dengan anak-anak, aku memohon penempatan semula kerana aku tak betah melihat anak tidur di surau sementara menunggu aku habis sekolah. Lagipun aku merasa tidak serasi di sekolah ini. Teman-teman sesi petang sangat happening namun sesi pagi agak poyos sikitlah. Mungkin mereka merasakan yang sesi pagi ni guru-guru yang sangat berwibawa dan very excellent berbanding kami sesi petang yang mengajar Tahun 1 dan 2 sahaja. Aku memohon sesi petang kerana anakku yang belajar di Tahun 2 sesi petang.
Pada awalnya permohonan penempatan semulaku ditolak. Aku tidak berputus asa dan pergi semula ke PPD Seremban dan memohon pertimbangan. Aku akhirnya dapat ditukarkan ke SK Seliau yang merupakan sekolah kurang murid dan berada di kampung. Walaupun sekolah ini aku rasa kurang selesa kerana sekolah lama dan bangunan lama, aku terpaksa berpuas hati kerana sekolah ini satu sesi dan murid sedikit. Aku berharap dapat sesuatu yang berharga di sini. Bersambung........